Hafizh guna chasis 2016, serupa Rossi, Vinales


Hafizh guna chasis 2016, serupa Rossi, Vinales


KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan rakan sepasukannya, akan menggunakan chasis Yamaha YZR-M1 2016, sama seperti Valentino Rossi dan Maverick Vinales bagi saingan musim ini.

Ia dimaklumkan oleh Prinsipal Monster Yamaha Tech3 ,Herve Poncharal yang mengesahkan pasukan berkenaan kali ini akan menggunakan chasis dua tahun lalu. Dan bagi Poncharal, dia percaya chasis itu juga sesuai untuk Hafizh.

"Untuk 2018, empat pelumba (Yamaha) - Valentino Rossi, Maverick Vinales, Hafizh Syahrin dan Johann Zarco akan menggunakan chasis sama tetapi dengan 'bodyworks', aerodinamik dan juga enjin berbeza," kata Poncharal kepada meja Sukan NSTP secara ekslusif, hari ini.

"Ia adalah chasis sama digunakan oleh Zarco dan Jonas Folger tahun lalu. Saya fikir ia adalah pakej terbaik untuk seorang pelumba muka baharu dan ia lebih daripada memadai buat Hafizh.

"Kami juga memahami pakej ini dengan sangat baik. Kami mempunyai semua data dari musim 2017, jadi kami boleh berusaha. Saya fikir ia akan banyak membantu Hafizh untuk musim pertamanya (di MotoGP) tahun ini. Dia berasa selesa dan yakin dengannya."

Hafizh pernah menguji chasis 2017 - yang sebelum ini dilihat kurang kompetetif berbanding versi 2016 - ketika ujian rasmi tiga hari di Buriram, namun bertukar kepada chasis 2016 pada ujian terakhir di Qatar, baru-baru ini.

Sementara itu, Hafizh, 23, berkata, dia gembira dengan keputusan pasukan, menggunakan chasis 2016.

"Saya bertukar kepada chasis 2016 dari hari kedua di Qatar (ujian) dan ia nyata lebih baik," katanya ketika ditemui.

"Tindak balasnya lebih cepat dan pantas yang mana lebih baik ketika berada di selekoh dan mempunyai sistem brek yang bagus. Saya lebih selesa dan yakin dengannya."

Hafizh melepasi semua jangkaan ketika ujian di Qatar apabila menempatkan diri di tangga ke-16 untuk tiga hari keseluruhan dan muncul selaku pelumba muka baharu kedua terpantas selepas Franco Morbidelli.

Pasukan Tech3 mengikat Hafizh selaku pelumba kedua pasukan apabila Folger tidak dapat meneruskan kariernya kerana isu kesihatan.

Susulan itu, Hafizh muncul selaku pelumba pertama negara dan juga di rantau Asia Tenggara yang beraksi di kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia.

Pusingan pembuka tirai musim 2018 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail di Qatar pada 16 hingga 18 Mac ini.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==