Kejutan Fattah, Fazura buat peminat



SHAH ALAM: Pasangan pelakon popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, membuat kejutan apabila menyampaikan lagu Cinderella secara 'live' pada majlis resepsi mereka di sini hari ini.

Nyanyian secara spontan itu menambahkan lagi kemeriahan majlis yang dihadiri oleh lebih 5,000 peminat kedua-dua artis sensasi terbabit.

Lagu daripada drama bersiri popular lakonan mereka, Hero Seorang Cinderella, itu adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Aizat Amdan.

Sementara itu, majlis resepsi berkenaan yang berlangsung di Royale Palace dibahagikan kepada dua sesi. Pada sebelah pagi, pasangan itu meraikan tetamu kehormat dan penaja, manakala acara sebelah petang pula khusus untuk peminat serta orang awam.

Ia sekali gus menyaksikan pasangan selebriti ini menunaikan janji masing-masing untuk berkongsi detik indah bersama insan yang banyak menyokong kerjaya seni mereka selama ini.

Sambutan hangat diberikan selepas kedua-duanya mengundang peminat mereka menerusi akaun Instagram masing-masing, beberapa hari sebelum majlis persandingan itu berlangsung.

Pada majlis terbabit, masing-masing Fattah dan Fazura kelihatan kacak serta anggun menggayakan busana tradisional rona lavender hasil rekaan Altelia Amani.

Seperti niat mereka untuk mengadakan majlis itu, Fattah, 27, dan Fazura, 34, meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra serta merakamkan foto kenangan bersama peminat yang hadir.

Majlis bertambah serinya dengan persembahan nyanyian oleh Bob Yusof, Khai Bahar, Syura dan Fazli Zainal.

Pada 25 Februari lalu, sebuah majlis resepsi diadakan khusus untuk anggota keluarga dan rakan terdekat kedua-dia pelakon terbabit di sebuah hotel terkenal di ibu kota.

Fattah dan Fazura mula berkenalan ketika membintangi drama rantaian, Hero Seorang Cinderella, tahun lalu.

Mereka kemudian mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu, sebelum bernikah secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, dua minggu kemudian.





close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==